Sunday, October 6, 2013

Permata hatiku

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Sejak kebelakangan ini, hati saya meronta-ronta untuk menjadi seorang WAHM. Pagi ini, bangun sahaja dari tidur, saya memandang Zara. Selalunya dia turut terjaga bersama-sama saya. Hari ini, dia tersengih sambil melihat saya. Hati saya bagai dicarik-carik melihat pandangannya meminta saya jangan bangun dan terus memeluknya. Apakan daya, saya perlu menyiapkan kelengkapan Adam dan Zara untuk dihantar kepada pengasuh. Saya juga perlu bersiap untuk ke pejabat.
   Kepala saya berputar-putar memikirkan keadaan pagi tadi. Sayu rasanya hati terpaksa menghantar anak-anak kepada 'orang asing'. Masa saya juga amat terhad dengan anak-anak. Sebab itu, jika ada masa bersama saya cuba untuk luangkan masa bersama Adam dan Zara walaupun badan terlalu letih minta direhatkan.
   Bahagianya insan-insan terpilih yang mampu menjaga dan melihat sendiri anak-anak mereka membesar di depan mata. Mungkin rezeki saya masih belum tiba. Tak mengapalah. Saya akan sentiasa berdoa dan akan berusaha menuju ke arahnya sebelum umur saya menjangkau 30 tahun. Saya harap sebelum Adam bersekolah saya sudah ada di rumah bersama mereka. Dalam masa yang sama saya juga masih ada sumber pendapatan yang stabil. InsyaAllah.

Salam kasih sayang..Nadia
Wassalam.

No comments:

Post a Comment