Tuesday, October 15, 2013

Pembelian stok

Teks : Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Pada kali ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang pengalaman membeli barang untuk diniagakan. Pada masa kini, kita tidak perlu risau lagi untuk mendapatkan bekalan barang niaga. Pelbagai kemudahan kini telah disediakan untuk peniaga yang ingin memborong barang jualan.
  Pada permulaan bisnes saya, saya hanya menggunakan sepenuhnya pembelian melalui online. Ini kerana modal yang diperuntukkan untuk pembelian stok adalah kecil. Jadi, tak berbaloi pula nak pergi sendiri ke GM Klang atau Jalan Kenanga untuk membeli stok dengan jumlah yang kecil. Nasiblah ketika itu saya bertemu dengan pemborong yang betul.
   Dalam beberapa bulan pertama memang inilah cara saya dapatkan stok. Mungkin kurang puas hati kerana warna yang berbeza dengan yang ada di dalam gambar tapi saya berfikiran positif kerana inilah kelemahan jika berurusniaga secara online. Saya juga pernah menggunakan orang tengah untuk mendapatkan stok dari China. Semuanya berjalan lancar cuma penerimaan stok adalah lebih kurang 1 bulan. Untuk cara ini anda kena perlu bersabar dan beri sepenuh kepercayaan kepada orang tengah. Sebelum pilih orang tengah yang akan mengendalikan pembelian anda jangan lupa selidik dahulu latar belakangnya takut nanti anda tertipu. Untuk urusniaga seperti ini mungkin lebih berbaloi sekiranya anda memperuntukkan modal yang lebih besar kerana anda lebih untung dari segi kos penghantaran. InsyaAllah.
   Kemudian, perniagaan saya semakin maju dan berkembang. Saya mula terfikir untuk mengambil sendiri stok dari GM Klang dan Jalan Kenanga. Rasanya waktu ini lebih berbaloi kiranya saya sendiri mendapatkan stok di sana. Alhamdulillah. Perancangan sungguh lancar walaupun kali pertama saya mendapatkan sendiri stok dari pemborong. Lagi puas hati kerana saya boleh pilih sendiri barang dan yang penting tidak akan tertipu lagi dengan warna dan kualiti di dalam gambar sahaja. Sebenarnya masalah warna dan kualiti boleh dimaklumkan kepada pelanggan. Cuma saya sahaja yang menganggap saya ditipu.( Biasalah nak sedapkan hati)
   Sekarang, saya lebih gemar pergi sendiri mendapatkan stok dengan pemborong. Saya boleh pilih sendiri apa yang saya suka mengikut citarasa saya sendiri. Pilihan juga lebih banyak dan tak terbatas. Kadang-kadang, ada rezeki dapat harga yang lebih murah berbanding online. Baguskan.
   Inilah sedikit sebanyak pengalaman saya dalam urusan pembelian stok pakaian untuk perniagaan saya. Semoga ada juga sedikit input yang boleh anda ambil sebagai pembelajaran untuk permulaan perniagaan anda.  Bukan mudah untuk bertapak dalam satu perniagaan itu tapi dengan usaha dan kekuatan yang ada insyaAllah kita semua mampu.

Salam kasih sayang..Nadia
Wassalam

No comments:

Post a Comment