Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Tuesday, October 15, 2013

Pembelian stok

Teks : Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Pada kali ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang pengalaman membeli barang untuk diniagakan. Pada masa kini, kita tidak perlu risau lagi untuk mendapatkan bekalan barang niaga. Pelbagai kemudahan kini telah disediakan untuk peniaga yang ingin memborong barang jualan.
  Pada permulaan bisnes saya, saya hanya menggunakan sepenuhnya pembelian melalui online. Ini kerana modal yang diperuntukkan untuk pembelian stok adalah kecil. Jadi, tak berbaloi pula nak pergi sendiri ke GM Klang atau Jalan Kenanga untuk membeli stok dengan jumlah yang kecil. Nasiblah ketika itu saya bertemu dengan pemborong yang betul.
   Dalam beberapa bulan pertama memang inilah cara saya dapatkan stok. Mungkin kurang puas hati kerana warna yang berbeza dengan yang ada di dalam gambar tapi saya berfikiran positif kerana inilah kelemahan jika berurusniaga secara online. Saya juga pernah menggunakan orang tengah untuk mendapatkan stok dari China. Semuanya berjalan lancar cuma penerimaan stok adalah lebih kurang 1 bulan. Untuk cara ini anda kena perlu bersabar dan beri sepenuh kepercayaan kepada orang tengah. Sebelum pilih orang tengah yang akan mengendalikan pembelian anda jangan lupa selidik dahulu latar belakangnya takut nanti anda tertipu. Untuk urusniaga seperti ini mungkin lebih berbaloi sekiranya anda memperuntukkan modal yang lebih besar kerana anda lebih untung dari segi kos penghantaran. InsyaAllah.
   Kemudian, perniagaan saya semakin maju dan berkembang. Saya mula terfikir untuk mengambil sendiri stok dari GM Klang dan Jalan Kenanga. Rasanya waktu ini lebih berbaloi kiranya saya sendiri mendapatkan stok di sana. Alhamdulillah. Perancangan sungguh lancar walaupun kali pertama saya mendapatkan sendiri stok dari pemborong. Lagi puas hati kerana saya boleh pilih sendiri barang dan yang penting tidak akan tertipu lagi dengan warna dan kualiti di dalam gambar sahaja. Sebenarnya masalah warna dan kualiti boleh dimaklumkan kepada pelanggan. Cuma saya sahaja yang menganggap saya ditipu.( Biasalah nak sedapkan hati)
   Sekarang, saya lebih gemar pergi sendiri mendapatkan stok dengan pemborong. Saya boleh pilih sendiri apa yang saya suka mengikut citarasa saya sendiri. Pilihan juga lebih banyak dan tak terbatas. Kadang-kadang, ada rezeki dapat harga yang lebih murah berbanding online. Baguskan.
   Inilah sedikit sebanyak pengalaman saya dalam urusan pembelian stok pakaian untuk perniagaan saya. Semoga ada juga sedikit input yang boleh anda ambil sebagai pembelajaran untuk permulaan perniagaan anda.  Bukan mudah untuk bertapak dalam satu perniagaan itu tapi dengan usaha dan kekuatan yang ada insyaAllah kita semua mampu.

Salam kasih sayang..Nadia
Wassalam

Sunday, October 6, 2013

Peniaga pasar

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Pernah tak anda terfikir tentang masalah yang dihadapi oleh peniaga pasar malam/minggu? Sebagai pembeli sudah pasti anda tidak pernah terfikir kesusahan peniaga pasar malam/minggu sebelum memulakan perniagaannya. Yang anda tahu sebagai  pembeli, apabila tiba di pasar mata akan mencari-cari apa yang diingini dan membelinya sekiranya anda berkenan.
   Dulu saya juga seperti anda. Datang pasar hanya memikirkan diri saya sendiri. Tidak pernah pula terfikir tentang bagaimana peniaga berniaga, bagaimana memperolehi tapak, bagaimana dengan bayaran tapak dan macam-macam lagi. Cuma kadang-kadang bila terlihat makcik tua menjual ulam-ulaman timbul rasa kasihan kerana masih lagi berniaga walaupun usia sudah senja. Saya memang tabik pada makcik-makcik ini. Dalam keadaan begitu masih lagi mencari rezeki sedangkan golongan-golongan yang sihat hanya tahu meminta-minta.
   Kembali kepada cerita asal. Selepas saya mengambil keputusan nak berniaga di pasar minggu barulah saya mula belajar selok belok menjadi peniaga pasar malam/minggu ini. Saya cuma berniaga siang hari. Bezanya jika berniaga malam anda perlu pula kelengkapan pencahayaan. Jika berniaga siang tidak perlu fikir tentang sumber cahaya lagi.
   Selepas saya mendapatkan stok baju baby dan kanak-kanak saya mendaftarkan perniagaan saya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM). Di Setiu, tiada pejabat SSM. Sekiranya saya hendak mendaftar saya perlu ke Kuala Terengganu kerana pejabatnya ada di sana. Saya mula membuka internet untuk mencari sekiranya ada jalan lain yang tak memerlukan saya ke Kuala Terengganu kerana saya bekerja di pejabat pada hari biasa. Nak dijadikan rezeki saya, pada bulan berikutnya pihak SSM akan datang membuka kaunter di Setiu. Alhamdulillah. Seingat saya, itu adalah yang terakhir pada tahun berkenaan dan sekarang mereka tidak lagi membuka kaunter bergerak sebegitu.
   Urusan pendaftaran SSM telah selesai. Kemudian, saya mula merisik-risik untuk mendaftar dengan pihak Majlis Daerah pula. Disebabkan tapak kekal telah habis, saya hanya akan dapat berniaga di tapak yang tidak kekal. Pembayaran pula dilakukan setiap kali datang berniaga sahaja. Sekiranya tidak berniaga pada hari tersebut, makan saya tidak perlu membayarnya. Istilahnya adalah permit. Walaubagaimanapun, di satu lagi tapak saya perlu mendaftar dan membayar yuran untuk setahun sekaligus.
    Untuk peniaga yang hanya berniaga di tapak tidak kekal, saya perlu juga bertolak -ansur sekiranya ada peniaga yang datang lebih awal dan mengambil tapak saya sebelum ini. Paling dirisaukan apabila tiba musim perayaan. Ramai peniaga sementara (hanya ada ketika musim perayaan) yang akan turut datang berniaga dan akan berlaku perebutan tapak berniaga. Semua ini adalah kesulitan yang harus peniaga seperti saya lalui. Ketika itu, baru saya faham kesusahan yang dihadapi peniaga-peniaga pasar malam/minggu.
   Walaubagaimanapun, semua kesusahan itu dapat dilupakan dengan hasil yang berpatutan. Kadang-kadang kepenatan membuka khemah hanya dibayar dengan jumlah yang sanagt sedikit. Tidak padan dengan peluh yang keluar mencurah-curah. Juga tidak padan dengan pengorbana yang dilakukan si ibu untuk anaknya, si ayah untuk keluarganya dan mungkin si abang untuk adik-adiknya. Sejak saya menjadi peniaga saya mula mengahargai peniaga lain.

Salam kasih sayang.. Nadia
Wassalam

Friday, October 4, 2013

Lahirnya Zara..Part 1

Teks: Nurnadia Md JAini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Usia Adam ketika itu sudah 1 tahun setengah. Adam sukakan baby. PAntang nampak baby dia akan peluk dan cium. Seolah-olah terlalu sayang dengan baby dan terlalu inginkan teman bermain di rumah. Dari situ, saya berhajat untuk menambah seorang lagi zuriat sebagai teman si abang.
   Alhamdulillah, selepas membuat dua kali ujian kehamilan ia menunjukkan keputusan positif. Setiap hari saya bercakap-cakap dengan baby dan minta Adam bercakap dengan adiknya didalam perut saya. Adam bukan sahaja bercakap malah dia akan peluk dan cium perut saya seperti dapat melihat adiknya bermain dalam perut saya.
   Kandungan kali ini agak mudah dijaga. Semuanya sihat-sihat belaka. Hb saya, kenaikan berat, paras gula semuanya terkawal. Alahan juga tidak seteruk semasa mengandungkan Adam. 9 bulan mengandungkan Zara rasa sangat sekejap. Tak pernah lagi ditahan di wad. BErjalan pun laju sahaja ke hulu kehilir dengan kerja yag banyak.
   Naluri saya sejak mula membawa zuriat ini, jantinanya adalah sama seperti saya. Saya juga berangan-angan untuk ada teman. NAnti boleh pergi shopping sama -sama, boleh solat sama-sama, boleh berpakaian sama di hari raya dan macam-macam lagi. Bila scan doktor tidak dapat menjangkakan jantina secara pasti. Tapi doktor meramalnya sebagai perempuan. Hati sangat berbunga-bunga.
   Si adik ni juga sama seperti abang. Walaupun sudah tiba tarikh jangkaannya untuk melihat dunia masih belum mahu keluar. Zara dijangkakan akan lahir pada 6 Jun 2013 bersamaan denga tarikh ulangtahun perkahwinan saya dan suami. Tapi nampaknya Zara tak mahu keluar lagi. Adam pula sudah tinggal dengan neneknya sejak seminggu sebelum tarikh jangkaan Zara dilahirkan. Waktu itu, rindu bukan kepalang lagi pada Adam. Rasa nak paksa Zara keluar segera supaya saya tak jauh dari Adam dan Zara.
   10 Jun 2013 saya membuat pemeriksaan perut di klinik swasta. doktor mengesahkan air ketuban saya sangat sedikit dan menyarankan saya ke hospital. Saya masih bekerja waktu itu.(Tidak pohon cuti awal sebab pengalaman lahirkan Adam lewat)Saya pergi ke hospital pada hari yang sama dan ditahan di wad. Walaubagaimanapun, bukaan hanya 1cm. Pada malam pertama sakit memang ada tapi masih dapat tahan. Malam itu saya hanya pergi ke katil-katil pesakit lain dan menenangkan mereka yang sudah ada tanda untuk bersalin.

Bersambung..

Online ke Offline?

Teks : Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
  Bagaimana anda berhadapan dengan pelanggan anda yang cerewet? Pernah tak terjadi di mana semasa anda mempromosi produk anda kepada pelanggan anda dan dia menolaknya?
  Saya juga pernah mengalami keadaan ini semasa saya mempromosi secara online mahupun offline. Semasa saya berniaga di pasar, saya ada mempromosi sehelai baju kepada pelanggan saya, Puan X. Ketika itu, saya agak kecil hati dan malu apabila produk saya ditolak oleh Puan X dengan alasan produk saya mahal kerana saya hanya berniaga di pasar. Walaubagaimanapun, saya hanya tersenyum dengan kata-katanya. Setelah hampir masa untuk berkemas Puan X datang semula pada saya dan ingin membeli baju yang pernah saya promosikan kepadanya. Saya tetap menjualnya walaupun malu dengan kata-katanya yang agak kuat semasa menolak cadangan saya pagi itu.
   Saya juga pernah ditolak dalam perniagaan secara online. Tapi malunya sudah tentu tidak seberapa berbanding semasa cadangan saya ditolak oleh Puan X. Ini kerana, saya hanya membaca kata-kata pelangga saya secara online berbanding saya mendengar kata-kata pelanggan saya secara offline. Saya boleh membaca kata-kata pelanggan saya menggunakan nada yang lebih bershaja walaupun sebenarnya pelanggan saya menyindir saya. Saya tidak perlu melihat wajahnya yang menolak produk saya dan saya juga tidak perlu menunjukkan muka malu saya apabila produk saya ditolak. Jadi, saya lebih suka berniaga secara online berbanding secara offline walaupun konsepnya lebih kurang sama.
Anda bagaimana?
   Oh ya. Kepuasan perniagaan online dan offline adalah berbeza. Kedua-duanya punya kelebihan dan kelemahan masing-masing. Semuanya atasa individu itu sendiri. Ada yang pemalu lebih gemar berniaga secara online dan ada yang banyak cakap lebih suka berniaga secara offline. YAng penting, kita perlu tahu kelebihan kita sendiri.

Salam kasih sayang..NAdia
Wassalam.

Thursday, October 3, 2013

LAhirnya Adam..Part 2

Teks : Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   PAgi ini saya nak sambung sedikit lagi kisah tentang tentang kelahiran putera saya, Adam.
   Selepas saya ditukarkan bersama suami di Terengganu kesusahan saya berkurangan. Sakit saya berjaga. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pada bulan terakhir saya, rasa rindu teramat sangat dengan keluarga di Perak datang menjengah. KAlau ikutkan perancangan, saya tidak akan balik ke PErak lagi sehingga bersalin. Disebabkan terlalu rindu saya mengajak juga suami untuk pulang ke Perak walaupun ketika itu hari sudah petang. Walaupun suami agak berat untuk mengikut kemahuan saya dia tetap membawa saya pulang ke PErak. Saya sendiri tak tahu kenapa hati begitu rindu sehingga menangis dibuatnya.
   Tarikh jangkaan kelahiran Adam adalah 20 April 2011 tapi walaupun sudah menghampiri 20 April masih tiada tanda-tanda Adam nak keluar melihat dunia. Semasa pemeriksaan dalam 19 April saya diminta untuk masuk ke wad kerana saya tidak dapat rasa pergerakan Adam. LEbih kurang dalam dua hari saya ditahan di wad tanda-tanda masih belum keluar. Adam masih sihat dalam perut. PAda hari saya akan keluar dari wad tanda darah baru ada. Jadi saya terpaksa meneruskan malam-malam di wad sehingga Adam keluar memandangkan tanda telah ada. KEluarga saya dari Perak telah datang sejak 18 April lagi. Disebabkan sehingga 20,21 April saya masih belum bersalin keluarga terpaksa pulang ke Perak kerana cuti ayah telah habis. Waktu itu rasa sedih tak dapat dibendung lagi. Ini kali pertama kali saya nak bersalin tapi mak tiada disisi.
   Hari berlalu, kesakitan hanya datang sekejap-sekejap. Syukur ada ma yang sanggup menjaga menantunya di hospital walaupun banyaj baju pelanggan yang perlu disiapkan. Ma saya tukang jahit baju. Hampir tiga hari menanggung sakit Adam masih belu mahu melihat dunia. Selepas pemeriksaan jalan tengah hari itu saya telah dibawa ke labour room. Bukaan sudah mengizinkan saya disorong ke labour rrom. Sudah tidak tertahan sakitnya.
   Sampai di labour room hati berdebardebar dan sangat takut. NAsiblah suami ada di sisi. KAmi bersama-sama mebaca Surah Yasin berkali-kali sambil saya mengerang kesakitan. Dalam pukul 9 lebih saya mula rasa yang Adam nak keluar sangat dari perut saya ni. BErmulalah episod usaha untuk mengeluarkannya dari perut ni. HAmpir juga saya perlu dihantar ke hospital besar kerana masa yang diberi hampir tamat. Dengan kemahiran doktor Adam berjaya keluar tanggal 24 April 2011 pukul 10.03 malam. Saya memang sangat tak bertenaga. Manakan tidak 3 hari tidak makan kerana menahan sakit.
   LAhirnya Adam ke dunia menitis air mata saya. Bukan sahaja bersyukur dengan kelahirannya tetapu juga mengenangkan kesusahan mak semasa melahirkan saya. Rasa nak menitis air mata saya sekarang bila teringat semula keadaan itu. Terima kasih mak atas kesuasahan mak melahirkan anak mak ni. Walaupun mak tak baca cerita saya ini saya akan jadikan coretan ini kenangan untuk saya abadikan selepas bergelar umi, sama seperti mak.
   Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman saya melahirkan putera kesayangan saya. Tiada maksud lain. Setiap orang punya cerita yang berbeza. PAsti menjadi kenangan manis buat kalian tatkala teringatkannya. KEsakitan yang sementara itu sudah tentu untuk memperoleh hasil yang sangat indah iaitu zuriat kita sendiri.
   Salam kasih sayang..NAdia
Wassalam.

Tuesday, October 1, 2013

Lahirnya Adam..Part 1

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Selepas mendirikan rumahtangga setiap insan pasti ingin merasa kehadiran zuriat sendiri. Tambahan pula naluri wanita saya yang sukakan kanak-kanak. Walaupun tinggal berjauhan dengan suami kami merancang untuk memiliki seorang cahaya mata sebagai penyeri hubungan kami.
   Sebulan kemudian saya disahkan hamil. Sungguh berbunga hati ini. Memang setiap pagi terpaksa menanggung alahan seorang diri kerana suami jauh nun di Terengganu. Saya pula masih bekerja di Perak. Memang mencabar. Beberapa kali juga terpakasa ditahan di hospital. Di kala suami jauh di mata ada pula sahabat-sahabat yang berhati mulia sudi membantu. Syukur padanya.
   Selepas 6 bulan lebih membawa Adam ke hulu kehilir, saya membuat keputusan untuk mengikut suami ke Terengganu disebabkan kerap jatuh sakit. Di PErak saya tinggal seorang diri di rumah sewa. Keputusan pertukaran saya agak cepat dan saya telah berjaya mendapat tempat di Terengganu ketika usia kandungan 7 bulan. Alhamdulillah. Tapi sedih di hati tidak terkira. Terpaksa berjauhan dengan mak dan ayah di PErak. Terengganu juga terlalu asing buat saya kerana hanya sekali sahaja saya pernah menjejaki kaki ke Terengganu sebelum berkahwin, iaitu ketika belajar dahulu.
   Walaupun berat demi suami saya gagahkan juga ke Terengganu. Alhamdulilllah, semuanya berjalan lancar. Saya berjaya ditempatkan satu pejabat dengan suami cuma bangunan pejabat lain-lain. Terpaksa menggunakan dua kereta ditambah pula kerja di unit saya memerlukan saya bergerak sendiri.
   Tunggu saya sambung esok ya cerita ini. Mata tak mampu bertahan lagi. Esok pun banyak tugasan menanti. Moga ada masa untuk saya selesaikan tugasan. Oh ya. Saya semakin suka menulis dan lebih laju idea yang keluar cuma mungkin agak 'tunggang-langgang'. Saya akan cuba baiki dari masa ke semasa.
Selamat malam.
Salam kasih sayang..Nadia
Wassalam.

Monday, September 30, 2013

Tak nak tertipu lagi..

Teks : Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim..

   2 tahun lalu merupakan titik permulaan saya mula berkenal-kenalan dengan dunia perniagaan. Pelbagai cabang perniagaan saya cuba. Dalam banyak-banyak percubaan ada satu perniagaan ini yang meninggalkan kenangan pahit kepada saya dan suami.
   Sebelum terlibat dengan perniagaan itu, saya dan suami pernah membaca mengenainya dalam sebuah majalah. Perniagaan ini merupakan perniagaan MLM. Waktu itu sekadar baca dan rasa minat tapi tak terlalu teruja nak turut serta dalam perniagaan tersebut. Saya namakannya perniagaan B sahaja.
   Selepas beberapa bulan, suami saya membawa pulang flyer mengenai perniagaan B yang diberi oleh sahabatnya. Sahabatnya turut menyertainya dan telah mendapat pulangan modal. Tergugat juga iman bila dengar cerita sahabat suami. Dia juga mengajak kami untuk pergi ke perjumpaan bersama Pengurus B. Puas berfikir kami pun setuju.
   Hari yang dinantikan telah tiba. Kami dengan penuh semangat berkobar-kobar ingin mendengar tentang perniagaan tersebut dengan lebih terperinci. Melihat kepada personaliti pengurus itu, memang telan air liur saya. Dengar pula cerita-cerita kejayaannya makin percayalah saya dan suami untuk mengikut jejak langkahnya.
   Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk penerangan lebih terperinci dan pendaftaran. Dek termakan pujuk dengan kejayaan anak-anak buahnya, dengan keramahannya dan anak-anak buahnya saya dan suami bersetuju memilih pakej paling mahal yang bermodalkan RM3k lebih. Waktu itu pelbagai janji manis diberi. Dengan semangat yang menggunung tinggi saya dan suami berazam nak buat yang terbaik. Tapi terpaksa tunggu flyers yang dijanjikan dalam tempoh seminggu. Flyers itu bernilai RM50 ya. Bukan percuma.
   Seminggu berlalu. Dua minggu berlalu. Sebulan berlalu. Flyers yang dijanjikan tidak kunjung tiba. Semangat pula makin luntur. Tiada pula berita dari 'cikgu-cikgu' yang mengambil nombor telefon kami dan berjanji akan hubungi kami dan sentiasa pantau kami. Waktu itu sudah mula rasa tertipu. Hampir 3 bulan barulah flyers yang ditunggu tiba. Semangat kami telah tiada tapi sebab pelaburan kami terlalu tinggi kami cuba juga mengedarkan flyers yang diberi. Namun, tiada perkabaran langsung dari pelanggan mahupun cikgu-cikgu kami.
   Kami rasa sungguh tertipu. Kami rasa dianiaya. Tapi apakan daya kami yang bersetuju menyertainya. Bukan salah orang lain. Tapi perkara ini memang cukup menjadi  pengajaran paling bermakna buat kami berdua. Perniagaan B pula makin tidak kedengaran. Dalam Majalah W juga tiada lagi iklan tentang Perniagaan B.
   Alhamdulillah. Keputusan kami membuka perniagaan pakaian baby dan kana-kanak merupakan keputusan yang betul.

Salam kasih sayang...NAdia
Wassalam
  

Monday, September 23, 2013

Pengalaman Yang Tak Mungkin Dilupakan

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirahmanirrahim..
   Sekarang menunjukkan pukul 10.11 malam. Adam dan Zara sudah enak dibuai mimpi. Baru umi boleh sambung semula tugasan umi.
   Tahun 2011merupakan permulaan kepada perjuangan umi dalam perniagaan pakaian bayi dan kanak-kanak ni. Masih segar lagi dalam ingatan umi pertama kali membuat keputusan yang telah merubah sedikit sebanyak kehidupan umi. Bermula dengan menjenguk blog-blog yang menjual pakaian baby akhirnya terlintas di fikiran ingin mengikut jejak langkah mereka dengan menjadi usahawan pakaian baby juga.
   Sebenarnya, umi tidak mahir dengan komputer. Jadi, umi ambil keputusan untuk berniaga di pasar minggu sahaja. Umi mula mencari pemborong pakaian baby di internet. Akhirnya, umi telah terjumpa pemborong yang memberi harga borong yang lebih rendah. Takut juga kalau ditipu sebab waktu itu sudah mula dengar berita tentang penipuan di alam siber ni. Lagipun itulah kali pertama umi membeli secara online. Tapi umi sentiasa doa dan tawakal supaya barang yang umi pesan sampai dengan selamat.
  Alhamdulillah. Barang yang dipesan tiba juga dan umi berpuas hati dengan barang yang diterima. Modal ketika itu hanya RM1500. Dengan RM1500 itulah juga untuk beli besi, khemah, penyangkut baju, plastik dan pakaian baby.  Banyak mana sahaja pakaian yang umi boleh beli dengan modal sebnayak itu.
  Hari yang ditunggu telah tiba. Semua barang dimuatkan dalam kereta Persona abah sahaja. Barang tak banyak memanglah muat.(Tersenyum) Waktu tu Adam masih kecil. Mungkin dalam 5 atau 6 bulan. Masih menyusu badan lagi. Umi bawa juga pergi berniaga. Sampai sahaja di tapak pasar minggu, umi dan abah mula bertolak-tolak untuk tanya tapak yang kosong untuk berniaga. Malu masih menebal lagi. Umi lah yang paksa abah temankan umi berniaga.(Tersenyum lagi)
   Akhirnya dapatlah satu tapak untuk umi mula berniaga. Selepas dapat tapak umi dan abah pun mula la pasang khemah. Adam umi tinggalkan sebentar dalam kereta. Masa tu malu juga sebab khemah yang ada cuma khemah yang paling murah. Besinya perlu disambung-sambung dan sangat ringan dan lembut. Kecil sahaja.Padanla dengan barang yang tak seberapa. Kalau hujan atau angin kuat mulalah risau. Khemah bergoyang nak diterbangkan angin.(Rasa nak menitis air mata umi bila teringat)
   Tapi Alhamdulillah. Pengalaman susah itu sendiri mengajar umi untuk terus berdikari dan tidak berputus asa. Dengan mengambil kelas ini juga umi sedang mencabar diri umi untuk berjaya. Walaupun umi masih berniaga di tapak pasar minggu (Khemah yang lebih besar dan kukuh) tapi umi rase umi perlu belajar berniaga secara online juga dengan cara yang betul kerana pada masa akan datang tak mustahil perniagaan lebih tertumpu kepada pernigaan online.
  Panjang benar celoteh umi malam ini. Inilah sebuah pengalaman yang mengajar umi lebih kuat dan ingin lebih berjaya dan bahagia. Jika ada kelapangan umi akan sambung lagi tentang pengalaman umi dalam dunia perniagaan ini. Ingatlah anakku 9 per 10 dari rezeki adalah dengan berniaga.
Wallahualam.

Salam kasih sayang..Umi.
Wassalam.