Monday, September 23, 2013

Pengalaman Yang Tak Mungkin Dilupakan

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirahmanirrahim..
   Sekarang menunjukkan pukul 10.11 malam. Adam dan Zara sudah enak dibuai mimpi. Baru umi boleh sambung semula tugasan umi.
   Tahun 2011merupakan permulaan kepada perjuangan umi dalam perniagaan pakaian bayi dan kanak-kanak ni. Masih segar lagi dalam ingatan umi pertama kali membuat keputusan yang telah merubah sedikit sebanyak kehidupan umi. Bermula dengan menjenguk blog-blog yang menjual pakaian baby akhirnya terlintas di fikiran ingin mengikut jejak langkah mereka dengan menjadi usahawan pakaian baby juga.
   Sebenarnya, umi tidak mahir dengan komputer. Jadi, umi ambil keputusan untuk berniaga di pasar minggu sahaja. Umi mula mencari pemborong pakaian baby di internet. Akhirnya, umi telah terjumpa pemborong yang memberi harga borong yang lebih rendah. Takut juga kalau ditipu sebab waktu itu sudah mula dengar berita tentang penipuan di alam siber ni. Lagipun itulah kali pertama umi membeli secara online. Tapi umi sentiasa doa dan tawakal supaya barang yang umi pesan sampai dengan selamat.
  Alhamdulillah. Barang yang dipesan tiba juga dan umi berpuas hati dengan barang yang diterima. Modal ketika itu hanya RM1500. Dengan RM1500 itulah juga untuk beli besi, khemah, penyangkut baju, plastik dan pakaian baby.  Banyak mana sahaja pakaian yang umi boleh beli dengan modal sebnayak itu.
  Hari yang ditunggu telah tiba. Semua barang dimuatkan dalam kereta Persona abah sahaja. Barang tak banyak memanglah muat.(Tersenyum) Waktu tu Adam masih kecil. Mungkin dalam 5 atau 6 bulan. Masih menyusu badan lagi. Umi bawa juga pergi berniaga. Sampai sahaja di tapak pasar minggu, umi dan abah mula bertolak-tolak untuk tanya tapak yang kosong untuk berniaga. Malu masih menebal lagi. Umi lah yang paksa abah temankan umi berniaga.(Tersenyum lagi)
   Akhirnya dapatlah satu tapak untuk umi mula berniaga. Selepas dapat tapak umi dan abah pun mula la pasang khemah. Adam umi tinggalkan sebentar dalam kereta. Masa tu malu juga sebab khemah yang ada cuma khemah yang paling murah. Besinya perlu disambung-sambung dan sangat ringan dan lembut. Kecil sahaja.Padanla dengan barang yang tak seberapa. Kalau hujan atau angin kuat mulalah risau. Khemah bergoyang nak diterbangkan angin.(Rasa nak menitis air mata umi bila teringat)
   Tapi Alhamdulillah. Pengalaman susah itu sendiri mengajar umi untuk terus berdikari dan tidak berputus asa. Dengan mengambil kelas ini juga umi sedang mencabar diri umi untuk berjaya. Walaupun umi masih berniaga di tapak pasar minggu (Khemah yang lebih besar dan kukuh) tapi umi rase umi perlu belajar berniaga secara online juga dengan cara yang betul kerana pada masa akan datang tak mustahil perniagaan lebih tertumpu kepada pernigaan online.
  Panjang benar celoteh umi malam ini. Inilah sebuah pengalaman yang mengajar umi lebih kuat dan ingin lebih berjaya dan bahagia. Jika ada kelapangan umi akan sambung lagi tentang pengalaman umi dalam dunia perniagaan ini. Ingatlah anakku 9 per 10 dari rezeki adalah dengan berniaga.
Wallahualam.

Salam kasih sayang..Umi.
Wassalam.
 

No comments:

Post a Comment