Sunday, September 22, 2013

Pengenalan Diri Saya

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..
   Saya Nurnadia binti Md Jaini. Anak ketiga dari empat orang adik beradik. Saya dilahirkan pada 10 April 1987 tepat pukul 3.45 pagi. Saya dilahirkan di Selama, Perak. Walaubagaimanapun sekarang dan mungkin akan datang akan terus menetap di bumi Setiu, Terengganu memandangkan suami saya berasal dari Terengganu dan bekerja di sini.
 
   Saya merupakan ibu kepada sepasang cahaya mata yang sangat comel dan menghiburkan. Anak pertama seorang lelaki yang baru berusia dua tahun manakala si adik perempuan baru sahaja berusia tiga bulan.

   Zaman persekolahan saya, saya berpeluang bersekolah di banyak tempat memandangkan ayah kerap bertukar tempat kerja. Walaubagaimanapun semuanya masih lagi dalam Negeri Perak, negeri kelahiran saya. Selepas tamat sekolah menengah saya menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Seterusnya saya menyambung pelajaran di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sungai Buluh dalam Diploma Kesihatan Persekitaran selama 3 tahun.

   Akhirnya saya menjadi seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar. Selepas mendirikan rumah tangga saya telah berpindah ke Pejabat Kesihatan Daerah Setiu sehingga kini. Saya sudah bekerja selama hampir 4 tahun sebagai PPKP.

   Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menjalankan sebarang jenis perniagaan sama ada secara online atau offline. Walaubagaimanapun, selepas melahirkan anak sulung, saya kerap melayari internet untuk mencari pakaian dan keperluan untuk anak saya, Muhammad Adam Farish. Sejak itu, saya mula terfikir untuk memulakan perniagaan pakaian bayi dan kanak-kanak kerana terpikat dengan kecomelan pakaian kanak-kanak terutama dari China. Baru-baru ini pula saya mula melibatkan diri dalam perniagaan makanan tambahan SHAKLEE kerana terpikat dengan keberkesanan produknya setelah mencubanya. Saya juga ingin mencari pendapatan sampingan kerana pada masa kini wang amat penting dalam kehidupan seharian.

   Apabila bercerita tentang minat, saya baru sedar yang minat saya adalah dalam bidang perniagaan. Walaubagaimanapun, saya memang tidak mempunyai kepakaran atau kemahiran berkaitan dengan perniagaan sebelum ini. Jadi pengalaman saya selama lebih setahun berniaga pakaian bayi dan kanak-kanak yang membina kemahiran serta kepakaran saya dalam perniagaan. Sebenarnya masih tidak pakar tapi saya cuba menuju ke arahnya.

   Saya juga minat membaca terutama buku berkaitan motivasi dan keagamaan. Disebabkan hal ini juga saya telah membeli buku yang dihasilkan oleh kak Masayu Ahmad untuk panduan saya.

   Saya berharap dengan permulaan yang baik ini saya mampu mengubah kehidupan saya menjadi lebih bik seperti yang saya impikan. Dengan kesusahan yang telah dan akan saya lalui saya tidak akan cepat berputus asa. Impian saya ingin mengembangkan perniagaan online mahupun offline yang telah saya ceburi.

  Semoga saya masih diberi peluang untuk mencari ilmu seterusnya mencapai apa yang saya hajati.

Salam sayang dari saya..Nadia.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment