Monday, September 30, 2013

Insaf

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Siapalah yang inginkan kehidupan yang susah. Bukan sahaja susah wang ringgit tapi juga susah terpaksa membawa kuman itu kehulu kehilir hingga akhir hayatnya. Sudahlah dibuang keluarga yang mengalir darah yang sama, orang kampung juga turut menyisihkannya.
   Memanglah salah dia di kala mudanya terlalu ikutkan perasaan dan nafsu. Ingin berseronok. Hasil kerja kampungnya dapatlah dia membeli sedikit habuan buat dirinya puas beberapa ketika. Pergi ke dunia lain. Pada waktu itu, tiada siapa yang benar-benar pedulikan tingkahlakunya. Baginya pula keseronokan seketika itulah yang mampu menggembirakan hatinya selama-lamanya.
   Lain pula yang diharap lain pula yang diterima. Badan mula sakit-sakit. Batuk pun menjadi-jadi. Pantang ada orang sekeliling yang batuk atau selsema dia pula yang kena lebih-lebih. Akhirnya, terpaksa dia bermalam di hospital setelah lama menanggung sakit yang tidak surut-surut.
   Beberapa hari di hospital macam-macam pemeriksaan yang dibuat. Darahnya turut diambil. Begitu juga kahaknya. Ya. Positif. Lemah longlai tubuhnya. Terdiam seribu bahasa. Terlupa seketika sakit-sakit yang sebelum ini. Laju sahaja berputar di kepala sakit yang bakal diterima kelak. Teringat juga sahabat-sahabat handai yang sama-sama 'berjuang' dahulunya ada yang sudah mengadap Ilahi kerana kuman yang sama dengannya.
   Keluar dari wad, cuba untuk memulakan hidup baru. Mengikut kata Doktor ada rawatan untuk melemahkan kuman tapi bukan untuk menghapuskan terus kuman dalam badannya. Disiplin yang tinggi amat diperlukan sepaanjang rawatan. Mula mencari tikar sembahyang. Mula meneganal laluan ke masjid. Mula mencari pisau untuk kembali menoreh getah.
   Janji Tuhan pasti akan tetap ditunai. Cuma masanya sahaja hanya Dia yang tahu. Rupanya malam itulah malam terakhirnya. Pagi itu jasadnya sudah bernyawa lagi. Innalillah.
   Sekurang-kurangnya sebelum dia pergi mengadap Ilahi dia sudah sedar silapnya dan sudah berubah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Salam kasih sayang.. Nadia
Wassalam.

No comments:

Post a Comment