Sunday, October 6, 2013

Peniaga pasar

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Pernah tak anda terfikir tentang masalah yang dihadapi oleh peniaga pasar malam/minggu? Sebagai pembeli sudah pasti anda tidak pernah terfikir kesusahan peniaga pasar malam/minggu sebelum memulakan perniagaannya. Yang anda tahu sebagai  pembeli, apabila tiba di pasar mata akan mencari-cari apa yang diingini dan membelinya sekiranya anda berkenan.
   Dulu saya juga seperti anda. Datang pasar hanya memikirkan diri saya sendiri. Tidak pernah pula terfikir tentang bagaimana peniaga berniaga, bagaimana memperolehi tapak, bagaimana dengan bayaran tapak dan macam-macam lagi. Cuma kadang-kadang bila terlihat makcik tua menjual ulam-ulaman timbul rasa kasihan kerana masih lagi berniaga walaupun usia sudah senja. Saya memang tabik pada makcik-makcik ini. Dalam keadaan begitu masih lagi mencari rezeki sedangkan golongan-golongan yang sihat hanya tahu meminta-minta.
   Kembali kepada cerita asal. Selepas saya mengambil keputusan nak berniaga di pasar minggu barulah saya mula belajar selok belok menjadi peniaga pasar malam/minggu ini. Saya cuma berniaga siang hari. Bezanya jika berniaga malam anda perlu pula kelengkapan pencahayaan. Jika berniaga siang tidak perlu fikir tentang sumber cahaya lagi.
   Selepas saya mendapatkan stok baju baby dan kanak-kanak saya mendaftarkan perniagaan saya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM). Di Setiu, tiada pejabat SSM. Sekiranya saya hendak mendaftar saya perlu ke Kuala Terengganu kerana pejabatnya ada di sana. Saya mula membuka internet untuk mencari sekiranya ada jalan lain yang tak memerlukan saya ke Kuala Terengganu kerana saya bekerja di pejabat pada hari biasa. Nak dijadikan rezeki saya, pada bulan berikutnya pihak SSM akan datang membuka kaunter di Setiu. Alhamdulillah. Seingat saya, itu adalah yang terakhir pada tahun berkenaan dan sekarang mereka tidak lagi membuka kaunter bergerak sebegitu.
   Urusan pendaftaran SSM telah selesai. Kemudian, saya mula merisik-risik untuk mendaftar dengan pihak Majlis Daerah pula. Disebabkan tapak kekal telah habis, saya hanya akan dapat berniaga di tapak yang tidak kekal. Pembayaran pula dilakukan setiap kali datang berniaga sahaja. Sekiranya tidak berniaga pada hari tersebut, makan saya tidak perlu membayarnya. Istilahnya adalah permit. Walaubagaimanapun, di satu lagi tapak saya perlu mendaftar dan membayar yuran untuk setahun sekaligus.
    Untuk peniaga yang hanya berniaga di tapak tidak kekal, saya perlu juga bertolak -ansur sekiranya ada peniaga yang datang lebih awal dan mengambil tapak saya sebelum ini. Paling dirisaukan apabila tiba musim perayaan. Ramai peniaga sementara (hanya ada ketika musim perayaan) yang akan turut datang berniaga dan akan berlaku perebutan tapak berniaga. Semua ini adalah kesulitan yang harus peniaga seperti saya lalui. Ketika itu, baru saya faham kesusahan yang dihadapi peniaga-peniaga pasar malam/minggu.
   Walaubagaimanapun, semua kesusahan itu dapat dilupakan dengan hasil yang berpatutan. Kadang-kadang kepenatan membuka khemah hanya dibayar dengan jumlah yang sanagt sedikit. Tidak padan dengan peluh yang keluar mencurah-curah. Juga tidak padan dengan pengorbana yang dilakukan si ibu untuk anaknya, si ayah untuk keluarganya dan mungkin si abang untuk adik-adiknya. Sejak saya menjadi peniaga saya mula mengahargai peniaga lain.

Salam kasih sayang.. Nadia
Wassalam

No comments:

Post a Comment