Monday, October 14, 2013

Perjalanan Balik Kampung

Teks: Nurnadia Md Jaini

Bismillahirrahmanirrahim.
   Selama beberapa hari saya tidak berkesempatan untuk menyiapkan tugasan saya yang seterusnya disebabkan kekangan masa dan talian internet. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca sekalian. Tahun ini saya berpeluang pulang ke Perak untuk sama-sama berkumpul dengan semua adik -beradik seramai 4 orang. Jarang sungguh dapat berkumpul bersama selepas semuanya sudah bekeluarga.
   Perjalanan pulang beraya kali ini sangat lancar. Pada mulanya saya dan suami ramalkan yang jalan akan sesak. Jadi, kami bertolak awal pagi supaya tidak tersangkut dengan kesesakan terutama dari Machang ke Jeli. Alhamdulillah, perjalanan sangat lancar dan tiada kesesakan sehingga tiba di Perak. Cuma hujan lebat di bukit membuatkan perjalanan agak perlahan.
   Apa yang menarik perhatian saya sepanjang perjalanan adalah pondok-pondok jualan di sepanjang perjalanan saya pulang ke Perak. Bermula dari Setiu sepanjang perjalanan banyak pondok-pondok yang menjual buah-buahan tempatan seperti cempedak, dokong dan beberapa buah lagi. Dari Machang menghala ke Tanah Merah meriah pula dengan jualan lemang di tepi-tepi jalan. Saya turut singgah membelinya. Sampai di Lenggong, berderet-deret pondok menjual pelbagai jenis kerepek. Kuala Kangsar pula meriah dengan ikan oekasamnya.
   Mudah sebenarnya nak berniaga ni kan sampaikan di mana-mana pun tetap ada orang menjual. Walaubagaimanapun, apa yang dijual pula berbeza-beza mengikut tempat. Namun, kemeriahannya tetap sama. Seronok saya lihat jual beli sebegini. Lebih santai dan fleksibel. Tidak terikat dengan komitmen yang besar tapi visi yang sama untuk mendapatkan keuntungan.
   Bila difikir-fikir perniagaan sebegini tidak perlukan promosi yang sehebat jualbeli di internet atau kedai fizikal lain. Pelanggan tetap ada ikut rezeki masing-masing. Kadang-kadang terlintas juga di satu-satu kawasan yang menjual benda yang sama macam mana nak laku? Tapi itulah dinamakan rezeki. Mungkin tak laku dengan pelanggan A tapi akan laku juga dengan pelanggan B. Ikut sedap mata pelanggan mana yang berkenan. Tapi saya sudah faham hati peniaga. Kalau tak ada pelanggan pun masih menunggu dan dalam hati berdoa moga-moga ada pelanggan yang datang nak beli. Doa itu yang penting.
   Baiklah. Sambung cerita lain pula di entri seterusnya. Selamat Hari Raya Aidiladha. Maaf Zahir dan Batin.
Salam kasih sayang...Nadia
Wassalam.

No comments:

Post a Comment