Monday, November 4, 2013

Masa

Teks: Nurnadia Md Jaini

Mengatur kehidupan seharian sebenarnya sangat mudah jika kita sekadar mencoretnya di dalam jurnal. Untuk merealisasikan apa yang kita rancangkan, disiplin amatlah dititikberatkan. Seringkali kita terleka dengan drama kehidupan kita seharian. Kadang-kala tak sempat pun untuk kita menilik kembali apa yang telah kita rancangkan seharian.
Untuk berada di landasan yang betul, setiap apa yang kita rancangkan perlu ditetapkan dengan tempoh masa tertentu. Menyiapkan anak-anak dalam tempoh masa 30 minit. Sarapan dalam tempoh masa 15 minit. Mula bekerja di hadapan komputer 2 jam berterusan. 30 minit berikutnya membungkus pesanan pelanggan. Semua ini mudah jika telah kita tetapkan masa yang diperuntukkan bagi satu-satu tugasan.
Disiplin sangat memainkan peranan penting dalam kehidupan kita yang agak terhad. Dengan mengikut kata hati untuk menonton telenovela di televisyen sudah mampu membuatkan jadual harian kita terbantut. Pengorbanan masa sebenarnya terpaksa kita terima dan lakukan tatkala berebut dengan pelbagai tugasan. Dewasa kini, wanita bukan sahaja sibuk sebagai wanita pejabat tetapi juga sibuk sebagai wanita yang bekerja dari rumah. Dan yang pastinya kepuasan merajai setiap inci hati apabila mampu bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama memantau permata hati.
Masa sangat perlu dijaga ketika ini. Lebih-lebih lagi yang baru membiasakan diri dengan jadual yang lebih bebas dan fleksibel. Takut-takut nanti masa lebih banyak dibazirkan tanpa pulangan yang berfaedah. Sambil menyelam minum air. Dah minum kenalah sampai kenyang.

No comments:

Post a Comment