Friday, January 10, 2014

Kisah susah untuk senang..

Bismillahirrahmanirrahim..

Baru-baru ini saya sempat mendengar kisah seorang sahabat yang juga saya anggap sebagai kakak memandangkan perbezaan umur 3 tahun dengan saya.
Kisah yang dikongsikan saya rasa sangatlah menyentuh hati kecil saya dan timbul pula perasaan kagum terhadapnya.
Tatkala melangkah ke alam persekolahan, beliau sudah mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Tapi matlamatnya bukan seperti saya. Bukan kerana minat dan bukan kerana suka. Tujuan utama hanya ingin mendapatkan duit belanja sekolahnya. Si ibu orang susah ditambah dengan si ayah yang tidak sihat. Segala tanggungjawab di galas oleh ibu seorang diri. Kesusahan hidup menjadikan si ibu terlalu tertekan dan tidak boleh pula meluahkan pada sesiapa. Si anak faham dan menuruti perintah si ibu.
Setiap hari, si ibu sudah bekalkan beliau makanan untuk dijual di sekolah. Sekiranya laku maka ada lah duit belanja pada hari tersebut. Jika tidak maka tiadalah duit poketnya. Namun, sahabat saya ini saya kira gigih orangnya. Kuat semangatnya. Dijaja juga makanan yang dijual sehingga mampu mendapt duit belanja.
Katanya, orang lain ke sekolah menggalas buku-buku sekolah tapi beliau menggalas makanan untuk dijual. Tak tamat di situ sahaja. Bermula cuti sekolah bermulalah rutin hariannya berkampung di dapur siang dan malam. Memenuhi tempaha kuih goyang@kuih ros@ macam-macam nama lagi. Dari siang sampai ke malam kehidupannya hanya di tepi dapur. Kiri kanan tangan bersilih ganti menggoreng kuih. Tak dapat di kira lagi air mata yang menitis. Masa mudanya hanya dengan mencari duit. Tiada masa bersenang-lenang seperti orang lain.
Bertambah sedih lagi ketika orang lain sibuk mengambil keputusan peperiksaan, dia hanya boleh menangis di tepi dapur kerana tidak punya masa untuk ke sekolah untuk melihat keputusan peperiksaannya. Sampaikan apabila sahabatnya telefon ke rumahnya untuk bercakap dengannya, dia masih tidak boleh bercakap kerana sibuk di dapur. Alhamdulillah keputusan baik-baik sahaja.
Sekolah rendah dan sekolah menengahnya dihabiskan dengan mencari duit belanja dan simpanan sahaja.
Selepas habis SPM, ibunya memberi pilihan kepadanya. Sekiranya dia tidak dapat masuk maktab dia perlu khawin. Hatinya sedih bukan kepalang kerana hati masih mahu belajar. Masih muda untuk menjadi isteri. Doa pada Allah SWT tak pernah kurang. Alhamdulillah, beliau dipanggil untuk ke maktab. Walaubagaimanapun, wang menjadi penghalang. Dengan keazaman yang kuat beliau sanggup untuk bersusah asalkan dapat menjejak kaki ke maktab tersebut. Di sana, kehidupan masih seperti dulu. Setiap hari berfikir untuk mencari duit. Belajar jatuh ke tempat kedua.
Di maktab, beliau mencari duit dengan menjual alat-alat tulis. Kawan-kawan memang tidak gemar dengannya. Tapi beliau pekakkan telinga, butakan mata. Apa yang dibuat bukan kerana suka-suka. Semuanya untuk menanggung kesusahan hdupnya. Doa memang tidak henti-henti. Menjadi perisai hidup seharian.
Satu hari, beliau berjumpa dengan insan senasib dengannya. Mereka berbincang cara untuk mencari duit. Lantas, mereka yang masih baru di bandar mencari jalan untuk ke syarikat Akhbar.(NSTP)Setelh berbincang dengan pihak NSTP mereka membeli suratkhabar dan dijual di maktab dengan mengambil sedikit komisyen. Suratkhabar yang tidak habis dijual pula untuk dikitarsemula.
Kemudian, beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Australia. Memang seronok tapi macam biasa wang menjadi penghalang. Walaubagaimanapun, insan ini diberi kecekalan yang sangat tinggi. Pergilah beliau dengan duit biasiswa RM1200 pada waktu itu. Pada waktu itu, beliau tidak memiliki laptop. Beliau terpaksa meminjam pada orang lain. Kali pertama pinjam, masih senyum. Kali kedua sudah tidak senyum. Kali ketiga sudah masam muka sahabatnya. Pada waktu itu, tekadnya untuk mencari duit untuk membeli laptop. Duit biasiswanya dikirim RM300 setiap bulan pada ibunya di Malaysia.
Pada cuti semester, beliau diajak oleh kawan dari U lain untuk bekerja sebagai pemetik buah. Walaupun badannya agk kecil digagahi jua. Katanya, kerja ini lumayan juga gajinya. Setelah dikira-kira gaji selama beliau bekerja, beliau menjangkakan memang mampu untuk menanggung semester akan datang. JAdi, beliau kirimkan semua duit yang ada pada ibu di kampung.
Malangnya, disebabkan fizikal yang kecil berbanding kerja yang dilakukannya, memang tidak termampu lagi untuk teruskan kerja beliau. Akhirnya beliau berhenti kerja. Dalam tempoh seminggu bekerja beliau ada berjumpa dengan sahabat-sahabt dari Korea. Dari mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, beliau ajar sehingga boleh berkomunikasi sedikit-sedikit dalam BAhasa Inggeris. Mereka bercerita bahawa mereka ingin melanjutkan pelajaran di Aiutralia tetapi duit tiada.Datang ke Australia juga tidak tahu apa-apa. Tapi sebabkan semangat yang tinggi untuk belajar mereka redah juga dan amat bernasib baik bertemu dengan sahabat saya. Sebelum sahabat saya berhenti kerja, beliau memberi alamat dan no telefon pada sahabat-sahabat Korea tadi. Niatnya, sekiranya mereka perlukan pertolongan beliau akan cuba bantu.
Selepas itu, beliau mencari kerja lain. Kali ini beliau mengambil upah mencuci rumah serta menggosok baju. Upahnya gak tinggi tapi sahabat-sahabatnya memandang rendah kepada beliau. Beliau tidak peduli asalkan rezekinya halal. NAk dijadikan cerita, sahabat-sahabt Korea beliau akhirnya tinggal bersama beliau di Australia dan dapat belajar di U di sana.Berbalik kepada kerja beliau tadi. LAma-lama beliau dapat mengumpul wang yang banyak hasil mencuci rumah dan menggosok baju. Sahabat-sahabat yang pada mulanya menghina beliau akhirnya datang kepada beliau untuk meminta bantuan kewangan. Kali ini beliau membuka 'francais' pula. Apabila mendapat baju-baju untuk digosok beliau akan agih pada 'downline-downline' beliau.
Suatu hari, beliau terfikir untuk mengajak ibunya datang ke Australia. Dikira-kira wang sudah mencukupi, maka diajak si ibu datang. Sungguh tidak disangka. Hasil kerja sampingannya untuk menampung kos hidup di Australia mampu membawa si ibu terbang ke Australia. Sampai di Australia, beliau membawa si ibu berjalan-jalan dan membeli buah tangan untu satu kampung. Bagi beliau, beliau banyak terhutang budi dengan orang kampung. Selama kehidupan beliau, beliau hanya menjadi insan penerima. Tapi kini beliau ingin menjadi insan yang memberi pula. Sebelum ini, laptop pun tak mampu beli. Tapi selepas itu, beliau mampu membeli 3 buah laptop dan komputer untuk diberi kepada adik-beradiknya.
Sehingga kini beliau masih memberi. Tidak henti memberi. Dipohon agar insan-insan yang menerima pemberiannya terimalah dengan ikhlas. Beliau pohon untuk beri peluang kepadanya menjadi insan yang memberi kerana dulu dia memang tidak berpeluang memberi.
Kini, beliau hanya membantu sahabat-sahabat yang ingin berniaga tapi beliau sudah tidak mahu berniaga. Baginya, cukuplah dunia beliau dulu penuh dengan dugaan untuk mencari duit dan berniaga.
Memang terharu saya dengar ceritanya. Sekadar ingin berkongsi sedikit cerita di pagi hari.

No comments:

Post a Comment